image image image image
* * * *
Friday March 22 , 2019
Font Size
   

BIARKAN SI LONCAI DENGAN LABU-LABUNYA

Siapa yang tidak kenal dengan syarikat-syarikat gergasi elektronik multinasional dunia seperti Intel, Motorola, Zilog, Cyric, AMD (Advance Microchip Device) dan sebagainya. Syarikat-syarikat ini merupakan peneraju dalam bidang separuh pengalir yang merupakan bahan asas utama kepada penghasilan litar bersepadu (Integrated Circuit). Pendapatan tahunan Syarikat Intel, pernah mencecah sehingga antara 30 hingga 40 billion ringgit setahun, hampir sama dengan pendapatan negara kita malaysia dengan populasi penduduk seramai 26 juta.

Apakah kepentingan separuh pengalir? Separuh pengalir (semiconductor) adalah tulang belakang kepada  bidang elektronik. Mari kita lihat sedikit analogi separuh pengalir. Bermula dengan gabungan dua bahan P dan bahan N akan menghasilkan Diode. Gabungan sebuah diode dan salah satu lagi bahan samada bahan P atau bahan N akan menghasilkan transistor BJT samada, PNP atau NPN. Gabungan transistor-transistor, diode dan perintang akan menghasilkan litar bersepadu (Integrated Circuit-IC) sama ada IC analog atau IC digital seperti gate-gate asas, AND, OR, NOT, EX-OR atau EX-NOR dan sebagainya. Gabungan gate-gate logik asas ini pula akan menghasilkan Flip-flop. Dimana flip-flop inilah merupakan binaan asas kepada ingatan (memory) statik, pembilang dan sebagainya. Gabungan flip-flip juga, bersama dengan gate-gate asas yang lain, akan dapat menghasilkan pelbagai lagi litar bersepadu digital lain yang penting seperti pencampur (full adder atau half adder), pembilang, pemultiplek, pengkod, penyahkod dan sebagainya. Seterusnya gabungan-gabungan komponen-komponen pasif dan aktif ini semua jika ianya dirangkumkan dan dirancang dengan teliti dan cekap akan dapat meghasilkan pemproses digital atau pengawal mikro. Daripada pemproses digital inilah, akan terhasilnya komputer. Bila komputer terhasil, banyak masalah teknikal yang rumit, akan menjadi mudah. Daripada pemproses inilah juga, jika digabungkankan dengan litar-litar elektronik lain seperti unit bekalan kuasa (power supply) dan unit paparan,  peralatan-peralatan elektronik lain akan dapat dibina seperti handset, TV, radio, settelit, pemancar radio malah hata peluru berpandu dan jet pejuang.

Pendek kata, kronologinya adalah, Daripada diode, terciptanya transistor, daripada transistor terciptanya gate-gate logik asas, daripada gate-gate asas terciptanya ingatan (memory) dan IC logik lainnya. Seterusnya Gabungan kesemua tadi, akan menjadi ramuan dan resepi terbaik kepada kesemua peralatan elektronik, samada bidang elektronik perhubungan, kawalan, perubatan, perkapalan, penerbangan, persenjataan, angkasa lepas malah apatah lagi bidang ketenteraan yang menentukan kelangsungan kehidupan sesuatu bangsa. Sebab itulah tidak ada negara yang hebat dalam sains dan teknologi yang tidak hebat dalam industri persenjataan dan peperangan seperti Amerika, Israel, Jepun, Rusia, German dan sebagainya. Kerana suasana peperanganlah saat yang paling getir dan pahit bagi sesebuah negara. Kronologi inilah sebenarnya yang berlaku kepada susunan subjek-subjek yang disusun begitu rupa di dalam program pengajian sebagai contoh Diploma Kejuruteraan Elektronik Perhubungan di Politeknik, bermula dari semester pertama hingga semester akhir.

Wujudnya hubungan kebergantungan diantara subjek-subjek dalam pengajian ilmu, terutamanya bidang kejuruteraan. Kebergantungan dalam kesepaduannya, ibarat aur dengan tebing. Apakah yang boleh dilakukan oleh satu komponen pasif seperti perintang, tanpa transisitor? Sudah pasti transistor perlu kepada sokongan peranan perintang atau kapasitor untuk ianya berfungsi sebagai pincangan (Biasing). Apatah lagi dalam sebuah pemproses. Bahagian ALU (Arithmatic Logic Unit) perlu kepada pembilang, daftar-daftar, ingatan, unit I/O, pengkod, penyahkod, denyut jam dan pelbagai unit lagi.

Oleh yang demikian, sebagai seorang pelajar kejuruteraan khususnya dalam bidang elektronik, kita perlu sedar bahawa, setiap subjek pada setiap semester mempunyai kaitan yang amat rapat di antara satu sama lain. Kita tidak boleh beranggapan bahawa, bila kita berada di semester semasa, maka kita telah boleh melupakan subjek-subjek di semester sebelumnya. Pepatah melayu menyebut “biarkan Si Luncai terjun dengan lau-labunya, biarkan”. Kerana subjek-subjek di semester terdahulu merupakan asas tapak yang akan mengukuhkan berdiri tegaknya subjek-subjek seterusnya. Kebergantungan setiap daripada subjek ini ibarat sebuah rumah. Bumbung sebuah rumah perlukan kepada tiang yang teguh. Tiang yang teguh berdiri, adalah disokong oleh dinding yang teguh di kiri dan kanan tiang, tiang yang teguh berdiri juga, mesti berada di atas tanah tapak yang kukuh. Tidak akan ada bumbung jika tiada tiang dan tanpa tapak tanah yang kukuh.

Bermula daripada semester pertama sehinggalah ke semester akhir, subjek-subjek dan modul-modul tadi ibarat satu pasukan bola sepak yang amat memerlukan kesepakatan dan kesepaduan dalam bertindak. Tidak mungkin hanya penyerang seorang sahaja yang menentukan kejayaan sesebuah pasukan bolasepak. Kesemua pemain pada setiap posisi akan menentukan kemenangan pasukan mereka. Walaupun subjek-subjek tadi berlainan nama dan jumlah kreditnya dan pada semester berbeza, ianya adalah daripada pohon dan perdu yang sama iaitu bidang elektronik sebagai contoh. Kemampuan kita untuk melihat secara menyeluruh hubungan diantara subjek-subjek yang dipelajari, akan memudahkan kita memahami sesuatu topik tersebut. Umpama settelit di angkasa. Tidak ada satu pun yang terlepas dan sia-sia.

Inilah sebahagian daripada resepi kepada kejayaan pelajar dalam semua bidang ilmu terutamanya kejuruteraan. Dan jangan lupa untuk memelihara dan menjaga kesejahteraan roh dan jasad. Jaga pemakanan, jaga keperluan tidur secukupnya dan pada waktunya, amalkan tidur awal, pasti kita akan bangun awal. Serta sudah pasti kurangkan hiburan anda yang melalaikan dan meracun akal dan pemikiran ciptaan Allah s.w.t. ini. Juga jangan lupa faktor dosa dan pahala dalam kehidupan kita. Agar kita semua mampu bertindak sehebat Superman, Ultraman, Power Rangers dan Doremon, Insya Allah......

Sumbangan : Ramli Bin Awang Nor

Joomla Templates and Joomla Extensions by JoomlaVision.Com
User Rating: / 15
PoorBest